Photobucket
Photobucket

KUALA LUMPUR 16 April - Harga baja tempatan meningkat lebih 20 peratus sejak tiga bulan lalu berikutan kenaikan harga minyak mentah dunia dan bekalan yang berkurangan.
Pengarah Eksekutif Detik Aturan, Md. Arfizal Md Ariffin berkata, harga baja berasaskan petroleum meningkat kepada RM1,800 satu tan metrik berbanding RM1,400 satu tan metrik tiga bulan lalu.

Beliau berkata, permintaan baja dunia pada masa ini sangat tinggi, sedangkan pengeluaran sangat terhad menyebabkan harga bahan itu meningkat.
Sementara itu, jurucakap CCM Fertilizers Sdn. Bhd. berkata, kenaikan kos penghasilan baja, terutama jenis baja yang menggunakan petroleum sebagai bahan asas, tidak dapat dielakkan berikutan kenaikan harga minyak mentah dunia.
Selain itu katanya, harga baja terus meningkat kerana ia merupakan bahan yang diimport sepenuhnya.

Beliau berkata, di samping itu harga baja melonjak dengan begitu mendadak kerana permintaan baja kimia yang lebih tinggi berbanding pengeluarannya, seperti yang berlaku di Brazil dan India sekarang.
Menurutnya, Malaysia mengimport baja kira-kira 3.5 juta tan metrik setahun.
Md. Arfizal seterusnya berkata, kerajaan perlu menekankan pengeluaran dan penggunaan baja organik untuk mengurangkan penggantungan 100 peratus kepada baja kimia.
''Bagi mengurangkan beban golongan petani, kerajaan perlu menggalakkan petani menggunakan baja organik, seperti baja kompos yang boleh diproses daripada sisa pertanian termasuk daripada jerami padi, hampas kelapa sawit, batang jagung dan sisa buangan tanaman sayuran yang lebih rendah kosnya," katanya.

Menurut Md. Arfizal, penggunaan baja organik bukan sahaja boleh menjimatkan kos sebanyak 50 peratus malah ia lebih mesra alam.
''Walaupun tanam-tanaman yang menggunakan baja organik tumbuh lebih perlahan berbanding baja kimia, namun daripada segi jangka panjang, ia (baja organik) boleh menyuburkan tanah," katanya.
Beliau berkata, jika pengeluaran baja organik bertambah, sekali gus mengubahkan persepsi petani terhadap penggunaan baja jenis itu.

JOHOR BAHRU 12 Ogos - Peserta Rancangan Tanah Felcra di negeri disarankan supaya menggunakan baja organik berbanding baja kimia yang kini diguna pakai untuk tanaman mereka.
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, sudah tiba masanya para peserta beralih kepada baja organik yang lebih murah, mudah dan selamat berbanding baja kimia ekoran daripada kenaikan harga minyak dunia.
Jelasnya, walaupun harga minyak semasa didapati turun sedikit namun harga barangan tidak mengalami perubahan.
"Penggunaan bahan organik yang boleh diperolehi daripada sisa haiwan dan tumbuh-tumbuhan itu merupakan bahan pengganti yang efisen berbanding baja kimia," katanya ketika berucap merasmikan majlis penyerahan dividen Felcra Johor di Hotel New York di sini semalam.
Pada majlis itu, Abdul Ghani menyampaikan sebanyak RM45,479,370.30 kepada 8,636 peserta di negeri ini yang mana jumlah tersebut merupakan kadar yang paling tinggi diterima oleh mereka setakat ini.

Turut hadir Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Nasarudin Hashim. Abdul Ghani berkata, dengan kepakaran serta teknologi terkini yang dimiliki negara maka baja organik yang bermutu boleh dihasilkan untuk kegunaan golongan tersebut.
Nasarudin berkata, masalah utama yang dihadapi oleh peserta-peserta Felcra ialah kenaikan harga baja import sekitar 40 hingga 50 peratus pada tahun ini berikutan harga minyak yang melambung.
"Jika kenaikan harga minyak tidak berlaku, semua peserta boleh menikmati kadar dividen yang lebih tinggi," katanya.
Selain itu, Nasarudin juga menyeru peserta Felcra untuk menyumbangkan idea bagi memajukan tanah rancangan mereka agar setanding dengan pihak swasta.

0 Comments:

 
yamya - Wordpress Themes is proudly powered by WordPress and themed by Mukkamu Templates Novo Blogger